KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad pernah membuat kenyataan mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak 'mengurung' Yang di-Pertuan Agong di Istana selepas bekas Perdana Menteri itu gagal bertemu Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, sebelum ini.
Blogger, Raja Petra Kamaruddin berkata, berbanding Najib yang hanya dituduh mengurung Agong, Dr Mahathir sebenarnya pernah meletakkan Agong dalam tahanan rumah di Langkawi pada November 1999.
"Ya, pada November 1999, Mahathir meletakkan Agong (Almarhum Sultan Selangor) dalam tahanan rumah. Jadi dia fikir Najib melakukan perkara sama kepada Agong kini (Sultan Kedah) dengan melarangnya bertemu Tuanku Agong," katanya dipetik Malaysia Today.
Menurut beliau, Mahathir melarang sesiapa sahaja yang ingin bertemu Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Langkawi sehingga tamat Pilihan Raya Umum (PRU) tahun berkenaan.
Walaubagaimanapun, Dr Mahathir kata Raja Petra berjaya bertemu Agong pada 15 September lalu untuk menyerahkan Deklarasi Rakyat yang hanya ditandatangani 45 individu.
"Mahathir katakan beliau ada sekitar 1.3 juta hingga 1.4 juta lagi tandatangan sungguhpu beliau tidak membawanya (ketika bertemu Agong).
"Agong kemudiannya bertanya Mahathir samaada beliau boleh memberi jaminan 1.3 juta hingga 1.4 juta tandatangan itu sah. Mahathir senyap selama beberapa minit dan akhirnya selepas membisu seketika beliau menjawab (tandatangan) itulah yang diserahkan kepadanya," ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Tuanku Abdul Halim kemudiannya berceramah kepada Dr Mahathir mengenai konsep Raja Berperlembagaan yang perlu dipatuhi bekas Perdana Menteri itu dan menjelaskan mengapa Agong tidak boleh mencapuri hal ehwal politik.
"Sudah 30 tahun tetapi akhirnya muka Mahathir ditampar dengan hujah yang sama digunakannya terhadap Raja-Raja lebih 30 tahun lalu. Inilah yang dipanggil keadilan. Kamu ditampar dengan apa yang kamu gunakan untuk menampar Raja-Raja pada tahun 1980-an," katanya lagi.
'Hujah Dr Mahathir pada 1980-an' yang dimaksudkan Raja Petra adalah penjelasan bekas Perdana Menteri itu sewaktu beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim meminda perlembagaan yang mengehadkan kuasa Agong serta Majlis Raja-Raja dalam isu-isu negara.