MUAR - Seorang isteri tergamak membuat laporan polis palsu mendakwa dirogol, gara-gara mahu menutup aib sendiri kerana menjalinkan hubungan sulit bersama teman lelaki.

Malangnya, tembelang wanita berusia 38 tahun itu terbongkar, setelah hasil pemeriksaan hospital mendapati tiada sebarang bukti dia dirogol atau berlaku kekerasan ke atasnya.

Menurut sumber, wanita terbabit dipercayai berlaku curang di belakang suaminya sejak lima tahun lalu, selepas berkenalan dengan seorang lelaki warga Bangladesh yang juga pekerja ladang sebuah estet dekat Pagoh.

“Sejak itu, mereka sering berjumpa termasuk mengadakan hubungan terkutuk dalam rumah wanita ini yang terletak dalam estet tersebut,” katanya.

Jelasnya, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, kelmarin, anak lelaki wanita terbabit yang berusia sembilan tahun, telah menjadi saksi perbuatan terkutuk ibu sendiri bersama teman lelakinya di ruang tamu rumah berkenaan.

“Jeritan kanak-kanak ini telah menyedarkan suaminya yang sedang tidur lena dalam bilik utama.

Suami wanita terbabit yang terkejut melihat lelaki Bangladesh itu dalam keadaan mencurigakan, bertindak mengejar lelaki terbabit,” katanya.

Katanya lagi, suami wanita itu mendapat pertolongan beberapa penduduk berhampiran yang turut mengejar lelaki Bangladesh terbabit.

Menurutnya, cubaan warga Bangladesh berusia 33 tahun itu untuk menyelamatkan diri gagal dan akhirnya dia dibelasah penduduk kampung termasuk suami wanita berkenaan.

“Lelaki terbabit kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), kerana mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan termasuk lebam pada mata,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan masih dalam siasatan.


 
Top