Yus Jambu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Selayang.
PETALING JAYA: Pelawak Helmi The Gimmick memberitahu nyanyian terakhir Allahyarham Yus Jambu ketika di Konsert Raja Band yang diadakan di Dataran Merdeka pada malam Ahad menyentuh perasaan penonton.
Helmi berkata, arwah menyampaikan lagu yang dipopularkan oleh Datuk Ramli Sarip berjudul Bukan Kerana Nama, namun ditukar lirik yang menyelitkan beberapa nasihat kepada orang ramai.
"Ketika dia menyanyi lagu tersebut saya sendiri rasa sebak kerana cara nyanyian serta lagu tersebut diubah liriknya seperti memberi nasihat buat kali terakhir.
"Lagu yang sepatutnya dinyanyikan lirik 'aku menulis bukan kerana nama', ditukar kepada 'aku melawak bukan kerana nama' serta lirik lain yang banyak menyentuh nasihat. Saya tidak sangka itu adalah kali terakhir saya berkongsi pentas dengannya," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Helmi tersentuh nyanyian terakhir Allahyarham Yus Jambu.
Helmi berkata, dia yang bertindak sebagai pengacara pada malam tersebut memberitahu arwah menyampai tiga buah lagu termasuk lagu tersebut.
Bagaimanapun, katanya, arwah tidak banyak bercakap dan kelihatan pucat sepanjang persembahan malam itu.
"Dia sangat lain, selalu jika saya melawak dengannya pasti dia sambut, tetapi tidak semalam. Dia banyak diam dan wajahnya pucat.
"Saya tanya adakah dia tidak sihat, namun katanya, dia agak penat," katanya.
Sementara itu, Helmi berkata, arwah juga merupakan seorang yang perahsia dan tidak memberitahu tentang penyakit yang dihadapinya.
"Saya kenal dia ketika satu pentas Raja Lawak musim pertama dan dia seorang yang suka menyendiri. Ketika di hospital semalam pun saya ada bertanya kepada keluarganya tentang penyakit tersebut.
"Keluarganya mengakui dia ada mengihidap sakit jantung dan asma," ujarnya.
Karyawan akan beri bantuan sokongan kepada keluarga Allahyarham Yus Jambu.
Sementara itu Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berkata, terkejut apabila dimaklumkan tentang berita pemergian pelawak yang banyak memberi kerjasama dengan Karyawan.
Katanya, sebagai penganjur, dia juga agak terkilan kerana tidak dimaklumkan tentang penyakit pelawak tersebut.
"Kita kehilangan seorang bintang yang sentiasa beri sokongan kepada Karyawan. Allahyarham tidak pernah menolak jika diminta membantu sebarang majlis anjuran Karyawan.
"Secara jujur memang ada sedikit kesal kerana tidak tahu dia ada masalah kesihatan, kalau tahu kita tidak minta dia nyanyi banyak lagu malam tadi, namun ajal maut itu sudah ditentukan tuhan," ujarnya.
Jenazah Allahyarham sudah selamat tiba di Perlis dan bakal dikebumikan selepas Zuhur.
Freddie berkata, dia sedang merancang untuk memberi sokongan dan sumbangan kepada keluarga Allahyarham dalam masa terdekat.
Pelawak Yus Jambu atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 39, meninggal dunia akibat sesak nafas di Hospital Selayang kira-kira pukul 12.30 pagi Isnin.
Allahyarham meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital selepas mengadakan persembahan di Konsert Raja Band di Dataran Merdeka, malam Ahad.