“Saya perasan ada peminat yang sudah mula panggil saya abang sado. Sampaikan sewaktu sedang menunaikan solat di masjid ada orang panggil saya abang sado. Saya sedar ada di antara mereka memberi pujian tetapi berbaur sindiran.
“Pada saya ianya lucu sebab saya sendiri memang tak pernah mempunyai bentuk fizikal seperti sekarang. Tetapi saya tak pernah berkecil hati kerana ianya membuktikan usaha selama ini berjaya,” jelas Nabil.
Jelas pelawak kelahiran Negeri Sembilan itu lagi, jika sebelum ini sewaktu beliau baru sahaja menceburkan diri dalam industri ada yang mengatakan beliau terlalu kurus kerana terlibat dengan dadah. Sedangkan beliau sendiri bukanlah seorang perokok tegar.
“Kini apabila saya nampak lebih sihat ianya memberi saya banyak tawaran kerja. Jadi banyak benda positif yang saya terima sejak bentuk fizikal saya berubah. Tahun ini Alhamdulillah rezeki saya semakin bertambah,” ujar Nabil.
Nabil yang akan berangkat seorang diri ke tanah suci Mekah pada 10 Julai ini akan menghabiskan 10 hari terakhir Ramadannya di sana dan akan pulang sebelum raya.